Pages


Monday, April 11, 2011

Mendamba pertemuan sempurna

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. (al-Mu'minun 1-2)

Kita yakin bahawa solat merupakan ibadah pertama yang akan dinilai oleh Allah, tetapi berapa ramaikah diantara kita yang benar-benar menjaga solatnya? Sudahkah kita merasai kelazatan solat sebagai juadah rohani? Jika belum ternyata masih ada hijab yang memisahkan bahagianya solat.

Akhirnya solat yang ditegakkan saban waktu hanyalah sebuah persuaan kosong. Jika solat itu umpama kekasih, ia ibarat bertepuk sebelah tangan di sejadah kaku yang tidak terjawab.

Imam Hassan Al-Basri RA mengujarkan,

"Solat yang tidak disertai kehadiran hati (khusyuk) akan lebih mendekatkan pelakunya kepada kemaksiatan daripada kebaikkan"

Sufi agung ini juga mengatakan,

"Perkara pertama yang dicabut daripada dada insan beriman ialah rasa khusyuk. Jika seseorang tidak mampu solat dengan khusyuk, petanda petaka lebih dekat kepada dirinya".



Dalam kitab Khilah al-Auliyaa' ada dijelaskan bagaimana Hatim al-Asom bersiap-siap untuk solat.

"Sesungguhnya aku memulakan wudukku dengan wuduk batin.."

"Apabila aku berwuduk, aku lakukan dua jenis wuduk. Pertama wuduk zahir, dan kedua wuduk batin. Aku memulainya dahulu dengan wuduk batin. Wuduk zahir pula aku membasuh anggota tubuh yang tujuh dengan air iaitu dua telapak tangan, mulut, wajah, dua lengan, kepala dan kaki. Manakala wuduk batin pula membasuh bahagian dalam dengan tujuh wasilah penyucian, iaitu bertaubat, menyesal, tidak kemaruk dunia, tidak ingin dipuji orang, tidak bercita-cita menjadi pemimpin, tidak menaruh dendam dan tidak berhasad dengki.."

Bagaimana pula dengan solat beliau?

"Ketika aku sudah berdiri tegak untuk menunaikan solat, maka seluruh anggota tubuhku aku kendurkan sehingga aku dapat melihat Ka'bah dengan mata hatiku. Aku berdiri antara hajatku dan rasa takutku kepada Rabb. Aku mantapkan dalam hatiku bahawa Allah sedang memerhati diriku, sedang syurga telah berada di sebelah kananku dan neraka berada di sebelah kiriku. Manakala malaikat pencabut nyawa sudah berada dibelakangku.

Demikianlah 'wajah' solatku, bahkan saat itu aku merasa seakan-akan telah menapakkan kakiku di titian Sirat. Dan aku tanamkan di dalam fikiranku bahawa ini adalah solatku yang terakhir.

Setelah itu barulah aku berniat, lalu membaca takbir sebaik dengan sekhusyuk mungkin. Dalam solat aku membaca surah-surah al-Quran sambil meneliti ertinya. Lalu aku rukuk dengan penuh kerendahan dan sujud dengan penuh kehambaan. Dalam tasyahud, aku tumpahkan seluruh harapanku dan akhirnya aku ucapkan salam dengan penuh tulus ikhlas.."

SubhanaAllah..

Mari berusaha sehabis daya! Moga setiap temujanji bersama-Nya adalah saat-saat yang ditunggu dengan persiapan yang rapi.


Buku Menyukat Solat Diri, karya Misbah Em Majidy.




3 comments:

Lukhman Taib said...

Sangat-sangat bersetuju.

Kita boleh buat solat kita sah menurut syarat-syarat dan rukunnya, tapi nak buat solat kita diterima, belum tentu cukup dengan sahnya solat kita. Perkongsian daripada Seminar Mengenal Allah Melalui 3 Qul beberapa hari lepas.

safiOmar said...

subhanallah~
syukran pika atas egtn!
:))

Afiqah Zulkifli said...

@Lukhman
Naam. Dan diri yang bersukat adalah diri yang maju mengahampiri kudus makrifat yang tersembunyi dalam rahsia solat.

@Safirah
Afwan. Moga kita tergolong dalam kalangan yang beruntung :)

Allahumma amin..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...